Nak Jawab!

Justin Bieber Marahkan Media Malaysia?

Baru-baru ini, krew Bieber Fever Malaysia telah ke konsert Justin Bieber Live in KL. Memang ramai yang hadir pada hari itu. Maklumlah, penyanyi sensasi antarabangsa sekali-sekala turun ke Malaysia. Walaupun hujan, para penyokong Justin Bieber atau lebih dikenali sebagai Beliebers tak jemuh menunggu kemunculan idola mereka. Pada pembukaan konsert, kami dihiburkan oleh penyanyi Malaysia yang mengukir nama di persada antarabangsa, Mizz Nina. Dalam jam 8.45 begitu, muncullah Justin Bieber dengan gahnya di atas pentas.

Namun, kami ada dengar cerita yang kurang enak didengar. Ada sebuah laman portal melaporkan yang Justin Bieber marah terhadap media Malaysia? Didakwa kerana beliau marah gambarnya bersama Selena Gomez dirakamkan sedang bersama di lapangan terbang. Dan oleh sebab itu, Justin Bieber lambat muncul ke pentas. Setahu kami, sebelum kemunculan rasmi Justin Bieber di pentas, beliau hampir berkali-kali keluar menjenguk keadaan peminatnya di luar sambil melambai-lambai ke arah peminat. Jadi, kelewatan untuk keluar pentas di konsertnya itu mungkin untuk menimbulkan rasa tidak sabar di kalangan peminatnya. Bagi "suspen" sikit.

Ada juga dikatanya, bahawa para peminatnya marah-marah dan menjerit menantikan kemunculan Justin Bieber. Biasalah tu, kalau dah kemunculan penyanyi ditunggu-tunggu hampir dua ke tiga tahun oleh peminatnya, pastilah mereka menjerit-jerit ibarat diserang histeria kerana tidak sabar untuk menatap buat kali pertamanya wajah idola mereka.

Lagi satu, bukankah penerbangan Justin Bieber dan Selena Gomez mendarat di Lapangan Terbang Subang? Yang kini, memang menjadi pilihan jet peribadi untuk mendarat di situ. Tetapi, didakwanya pula di KLIA? Susah nak faham. Seperti yang diakui oleh Justin Bieber sendiri, suaranya memang sudah pecah menjadi dewasa. Ada beberapa buah lagu memang tidak dapat dinyanyikan dengan baik atau sehebat rakaman albumnya sebelum ini.

:: Jangan tak tahu, konsert Justin Bieber yang lalu, turut dihadiri oleh kaum kerabat DiRaja Malaysia. Dengar kata, Tuanku Permaisuri Agong kita pun mengenakan pakaian bewarna ungu (warna kegemaran Justin Bieber) ::